Kalau bercuti di Semporna, pasti fikiran anda terbayang lautannya yang cantik dengan kejernihan air laut sehingga kelihatan terumbu karang. Apatah lagi jika menginap di chalet atas air. Apa yang anda impikan itu ada pada Maglami-Lami Waterhouse yang menawarkan satu penginapan atas air dengan harga berpatutan.
Terletak 30 minit dari jeti Semporna, chalet atas air ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti berkayak, snorkel dan menyelam di sekitar penginapan ini. Chalet ini terletak di Pulau Bum Bum yang menghadap Pulau Bohey Dulang. Jika anda melakukan trip island hopping di sini, perjalanan ke Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan hanya mengambil masa 20 minit.
Jenis penginapan yang ditawarkan ialah standard triple, standard family dan vip chalet. Kesemua bilik ini menghadap laut dan memiliki balkoni untuk anda santai-santai merasai kesegaran angin laut. Mengenai kemudahan yang ada di chalet ini, pihak pengurusan menyediakan bot untuk tetamu bagi perjalanan jeti Semporna ke sini serta melakukan aktiviti riadah lain seperti mendaki bukit di Pulau Bum Bum.
Sarapan, minum petang dan makan malam yang disediakan pihak chalet memandangkan pergerakan tetamu agak terbatas kerana jauh dari tanah besar. Namun begitu, percutian di sini benar-benar membuatkan anda melupakan segala masalah dan hiruk pikuk di kota. Penggunaan elektrik di sini juga amat terhad. Elektrik hanya digunakan pada waktu malam sahaja. Bermakna percutian di sini benar-benar membuatkan anda dekat dengan alam semulajadi.
Pengalaman berada di sini sangat mengujakan. Tetamu boleh melihat sendiri kejernihan air sehingga terlihat banyak spesies marin yang bermain-main di bawah pelantar chalet. Jika anda bernasib baik, anda dapat melihat kelibat beberapa ekor penyu berenang di sekitar chalet ini.
Lokasi: 91300 Semporna, Sabah